Selasa, 12 Mei 2015
MAAF ANAKKU! MEREKA TIDAK MESRA DENGANMU
Islam tidak pernah membezakan nilai antara bayi lelaki dan perempuan. Sekalipun ada beberapa hukum yang berbeza antara lelaki dan wanita, tetapi itu tidak merujuk kepada nilai, sebaliknya kepada latar fizikal dan psikologi setiap gender.
Allah mengutuk masyarakat jahiliah Mekah yang merasa hina dengan kelahiran bayi perempuan. Firman Allah:
(maksudnya) dan apabila dikhabarkan kepada seseorang mereka bahawa dia beroleh anak perempuan, hitamlah (muram) mukanya sepanjang hari dalam keadaan dia menahan perasaan marahnya. Dia bersembunyi dari orang ramai kerana (malu) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang memperolehi anak perempuan, sambil dia berfikir) adakah dia akan memeliharanya, atau dia akan memasukkannya ke dalam tanah? Ketahuilah! sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu”. (Surah al-Nahl: 58-59).
Petua
Ada petua kononnya menyatakan jika ibu selalu baca Surah Maryam, maka akan dapat anak perempuan dan jika selalu membaca Yusuf akan mendapat anak lelaki. Inilah petua rekaan segelintir ‘ahli motivasi’ yang cuba menarik perhatian mereka yang minat agama.
Pemberi kurnia bayi lelaki ataupun perempuan hanya Allah. Dia Penentu mutlak. Bilakah Allah berfirman ataupun berjanji sesiapa yang membaca surah tertentu maka akan dikurnia jantina anak menurut pilihannya. Ketentuan jantina atas hikmah yang Dia Maha Mengetahui. Hanya doa yang mustajab sahaja yang dinaskan dalam hal ini. Sedang isteri ‘Imran yang bercita-cita untuk mendapat anak lelaki dengan nazar untuk dijadikan orang yang berkhidmat sepenuh masa kepada agama Allah, dikurniakan anak perempuan. Firman Allah dalam Surah Ali ‘Imran:
“(ingatlah) ketika isteri ‘Imran berkata: “Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadamu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku; Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. Maka apabila dia melahirkannya, dia berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedangkan aku harapkan anak lelaki), – dan Allah memang mengetahui akan apa yang dia lahirkan – dan lelaki bukan seperti perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku memohon untuknya perlindunganMU, demikian untuk zuriat keturunannya dari syaitan yang kena rejam”. (35-36)
Mesra
Islam memberikan persekitaran yang mesra dan selesa kepada perkembangan seseorang anak. Islam tidak pernah melayankan kanak-kanak dengan layanan yang hina seperti yang dilakukan oleh sebahagian ahli masjid. Islam tidak pernah menjadikan anak kecil penghalang antara seorang dengan Allah. Kata Abu Qatadah al-Ansari:
“Rasulullah s.a.w pernah solat sambil mendukung Umamah binti Zainab binti Rasulillah, anak kepada (suaminya) Abi al-‘As bin Rabi’ah bin ‘Abd Shams. Apabila baginda mahu sujud baginda meletakkannya. Apabila bangun baginda mendukungnya kembali” (Riwayat al-Bukhari).
Inilah kemesraan agama dengan kehidupan kanak-kanak. Kemesraan seperti ini tidak kelihatan dalam kejumudan fikiran sesetengah orang yang enggan melihat agamanya dari jendela sunnah Nabi s.a.w tetapi lebih selesa dengan ikutan golongan yang keras dan menghukum agama menurut perasaan mereka yang hambar. Dalam hadis sahih riwayat Abu Ya’la, Ibn Abi Syaibah, Ahmad dan al-Nasai, Rasulullah s.a.w pernah sujud begitu panjang dalam satu solat disebabkan cucu baginda al-Hasan atau al-Husain -rawi hadis tidak pasti- menaiki tengkuk baginda ketika sedang sujud. Sahabat kehairan dan bertanya sebab. Baginda menjawab:
“Sesungguhnya anakku (cucuku) telah menjadikan aku tunggangannya. Aku tidak suka mengganggunya sehingga dia tunai hajatnya”.
Suasana yang mesra ini telah melahir generasi muda yang mewarisi generasi tua yang sentiasa merasakan tiada dinding penghalang antara mereka dan agama ini. Sejak dari kecil mereka diraikan. Sabda Nabi s.a.w:
“Aku mendirikan solat (sebagai imam) dan aku berhasrat ingin memanjangkannya. Tiba-tiba aku mendengar tangisan bayi, maka aku mensegerakan solatku kerana aku tidak suka membebankan ibunya” (Riwayat al-Bukhari).
Dihalau Ke Belakang
Kita mendengar kanak-kanak yang sudah pun boleh bersolat dihalau oleh orang tua ‘berlagak pandai’ ke belakang. Kemudian menengking anak-anak kerana tidak serius dalam solat. Apa tidaknya, mereka bersama saf dengan kanak-kanak yang lain. Tentu kenakalan itu kadang-kala muncul. Jika mereka duduk di samping bapa mereka tentu mereka dapat dididik adab solat berjemaah. Untuk menghalalkan perbuatan tidak mesra kanak-kanak itu dipilihlah fatwa yang menyatakan kanak-kanak belum berkhatan itu najis. Satu saf akan batal sebab bawah kulit kanak-kanak itu ada najis.
Saya selalu bertanya: “apakah bawah kulit orang tua dan dalam perut orang tua tiada najis?!! Jangan memilih pendapat-pendapat fekah yang menyusahkan dan menghilangkan semangat dakwah Islam sedangkan kita mempunyai banyak pilihan pendapat yang lebih munasabah.
Ketika Ibn ‘Abbas masih kanak-kanak, beliau bercerita:
“..Rasulullah bangun bersolat malam aku turut serta bersamanya. Aku berdiri di sebelah kiri baginda. Baginda memegang kepalaku lalu menjadikan aku berada di sebelah kanan baginda (Riwayat al-Bukhari).
Kata Anas bin Malik :
“…Rasulullah berdiri untuk solat. Aku bersaf dengan seorang budak yatim di belakang baginda. Sementara wanita tua berada di belakang kami”. (Riwayat al-Bukhari).
Adapun hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud yang menyatakan Rasulullah menjadikan saf lelaki dewasa di hadapan kanak-kanak, hadis itu daif dari segi sanadnya.
Didik
Kita diperintahkan menyuruh anak-anak bersolat ketika berusia tujuh tahun sebelum memukulnya dengan tujuan mendidik pada usia sepuluh tahun. Sabda Nabi s.a.w:
“Suruhlah anak-anak kamu bersolat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pukul kerana meninggalkan solat ketika berusia sepuluh tahun” (Riwayat Abu Daud, sahih).
Ertinya ketika berusia tujuh tahun saban hari sebanyak lima waktu dia mendengar perintah bapa atau ibunya ‘marilah bersolat’. Ertinya, selama tiga tahun lamanya dia akan mendengar seruan kepada solat dengan penuh cinta dan manja. Tanpa kekerasan, tanpa paksaan. Pujukan demi pujukan. Sehingga solat sebati dengannya dan dia mengasihi solat.
Solat diingati bersama hubungan kasih sayang ibubapa yang berbicara dan memujuknya setiap kali azan berkumandang. Mungkin pelbagai upah dan janji diberikan. Tidak dipukul melainkan setelah tiga tahun melalui tempoh ini. Jika dia dipukul pun setelah berusia sepuluh tahun, dia akan faham itu adalah pukulan kasih dan cinta. Dia bermesra dengan bapanya yang akan membawanya ke tempat solat. Dia mempelajarinya dari pelajaran dan teladan.
Jika bapanya bersolat di masjid dia bersama bapanya bersolat. Dia memerhati dan melihat pergerakan bapanya. Bagaimana rukuk, sujud dan segala pergerakan yang lain. Jika dia dihalau jauh ke belakang bersama anak-anak lain yang tidak tahu sepertinya, apakah yang dapat dia pelajari?! Ada masjid menempatkan saf kanak-kanak bagaikan ‘makhluk jijik’ yang tidak boleh sentuh. Kemudian mereka mungkin bising sesama mereka, maka akan ada orang dewasa yang menengking dan menghalau mereka balik.
Bahkan perbuatan orang tua menghalau kanak-kanak dari saf dan mengambil tempat mereka telah menyanggahi adab Islam yang diajar oleh Nabi s.a.w
“Jangan seseorang membangunkan orang lain dari tempatnya, kemudian dia duduk di situ” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Perbuatan menyakitkan hati bapanya, merisaukannya dan menjadikan anak-anak yang sudah tahu bersolat itu merasa betapa mereka tidak diraikan dalam agama ini.
Adab
Namun ini bukan tidak bererti anak-anak dibiarkan membuat bising dan mengganggu orang lain yang sedang bersolat, sebaliknya mereka dididik dan ditegur dengan cara yang baik oleh ibubapa dan masyarakat. Masjid juga bukan tempat ibubapa melepaskan tanggungjawab anak-anak bising di rumah dibawa untuk bising di masjid. Cuma pastikan mereka tidak dilayan dengan cara yang menyebabkan mereka membesar dalam keadaan merasakan institusi agama amat tidak mesra dengan mereka. Kadang-kala mereka bising disebabkan cara kita mengatur mereka, hal ini mesti dibaiki.
Anak-anak membesar dalam agama ini dengan didikan yang lunak. Kata sahabiyyah Nabi s.a.w yang bernama al-Rubaiyyi’ binti Muawwiz:
“..selepas itu kami pun berpuasa dan menjadikan anak-anak kecil kami berpuasa. Jika Allah kehendaki, kami juga pergi ke masjid membawa mereka. Kami buat untuk mereka mainan dari bulu berwarna. Jika mereka menangis lapar kami berikan mainan tersebut sehingga sampai waktu berbuka” (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan Ibn Hibban).
Demikian agama ini berkembang dalam kehidupan anak-anak dengan pujkan. Ia tidak berkembang dengan kebencian dan anggapan mereka itu pengacau dan seumpamanya. Mereka dididik dan dikawal agar tidak mengganggu orang lain, namun dengan mesra. Jika masih tidak terkawal, barulah ibubapa sepatut tidak membawa ke masjid atau selainnya. Kadang-kala sikap masyarakat menyebabkan ibubapa rasa bersalah tanpa sebab apabila membawa anak ke masjid. Maaf anakku, mereka itu tidak mesra denganmu! Namun, itu bukan ajaran Nabimu…
Isnin, 6 April 2015
BEZA WANGIAN LELAKI DAN WANITA
BEZA WANGIAN LELAKI DAN WANITA
Sunnah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam mengajar kita untuk sentiasa wangi dan tidak membiarkan badan kita berbau busuk. Akan tetapi terdapat perbezaan kecil dalam isu wangian daripada sudut hukum untuk lelaki dan perempuan.
عَنْ أَنَسٍ ، أَنّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ
Anas bin Malik radiallahu 'anhu meriwayatkan Nabi sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
حُبِّبَ إِلَيَّ مِنَ الدُّنْيَا النِّسَاءُ ، وَالطِّيبُ ،
Hal dunia yang dicintaiku ialah wanita dan wangian.
وَجُعِلَ قُرَّةُ عَيْنِي فِي الصَّلَاةِ
Dijadikan penyejuk mata ku ketika solat.
[Musnad Ahmad, Musnad Sepuluh Yang Dijanjikan Syurga, Musnad Anas bin Malik, hadis no: 12065, Shaikh al-Arnaouth: Isnadnya hasan]
Hadis di atas umum, akan terdapat hadis yang khusus untuk wanita:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ :
Abu Hurairah radiallahu 'anhu berkata: Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
إِذَا خَرَجَتِ الْمَرْأَةُ إِلَى الْمَسْجِدِ ،
Apabila seorang wanita pergi ke masjid,
فَلْتَغْتَسِلْ مِنَ الطِّيبِ كَمَا تَغْتَسِلُ مِنَ الْجَنَابَةِ
hendaklah dia mandi untuk menghilangkan bau wangian sebagaimana dia mandi wajib.
[Sunan An-Nasaie Al-Kubra, Kitab Perhiasan, Mandinya Seorang Perempuan Untuk Menghilangkan Wangian, hadis no: 9063]
Beza wangian lelaki dan wanita ialah:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " طِيبُ الرِّجَالِ مَا ظَهَرَ رِيحُهُ وَخَفِيَ لَوْنُهُ ،
Abu Hurairah radiallahu 'anhu berkata: Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Wangian lelaki apa yang jelas baunya dan tersembunyi warnanya.
وَطِيبُ النِّسَاءِ مَا ظَهَرَ لَوْنُهُ وَخَفِيَ رِيحُهُ
Wangian wanita apa yang jelas warnanya dan tersembunyi baunya.
[Sunan at-Tirmiz, Kitab al-Adab, hadis no: 2730, hadis hasan]
Realiti yang kita lihat di zaman kini adalah berbeza daripada apa yang tertulis dalam hadis-hadis di atas.
~~~~~~~~~~~
SEMINAR HADIS 40, 11 & 12 April 2015, UIAM Gombak.-->
Selasa, 31 Mac 2015
Apakah maksud di sebalik 786 yang sering terpampang di papan tanda perniagaan India Muslim. Terdapat dua pandangan dalam menjelaskan maksud dan misteri di sebalik penggunaan nombor 786 yang jelas kelihatan di setiap perniagaan restoran India Muslim.
Pandangan pertama merujuk kepada kaedah memberi nilai angka kepada huruf-huruf Arab. Ia bukanlah diperkenalkan oleh India Muslim. Penggunaan nilai nombor kepada huruf-huruf arab sudah lama dipraktikkan dan mudah dilihat dalam perubatan kuno tempatan yang menjadikan ia sebagai bahan perubatan alternatif. Setiap huruf dalam bahasa Arab diberikan nilai nombor yang berbeza.
Daripada gambar di atas ni, ditunjukkan bahawa setiap huruf ada nilai-nilai dia yang tersendiri. Jadi, dalam ayat basmalah, hasil tambah semua nilai-nilai huruf tersebut ialah 786. Kalau tidak percaya korang boleh je nak kira. Selamat mencuba...
Perubatan tradisional kuno pernah menjadikan nilai-nilai nombor ini sebagai susunan kombinasi yang digabung menjadi tangkal. Melalui inisiatif penjelasan pendidikan agama kepada masyarakat secara berterusan, ia tidak diamalkan pada hari ini.
Nombor 786 yang digunakan oleh peniaga India Muslim di papan perniagaan bukanlah tangkal sebagaimana dilakukan oleh pengamal perubatan tradisional kuno. Nombor-nombor yang wujud di papan tanda tersebut membawa kepada maksud perkataan bismilah.
Pandangan kedua mengatakan nombor 786 yang tertera di papan tanda perniagaan India Muslim membawa kepada formula asas kepada perniagaan India Muslim. Ia melambangkan proses penciptaan keuntungan dalam perniagaan dan pengurusan modal pusingan bagi apa-apa perniagaan yang diceburi. Formulanya ialah jika modal berjumlah tujuh ringgit, jual pada nilai lapan ringgit. Pusingkan modal semula sebanyak enam ringgit selepas itu.
" Tujuh ringgit modal, lapan ringgit jual, enam ringgit pusing semula."
sumber:http://bisnesmamak.wordpress.com/2007/04/02/rahsia-sebalik-786/
Rabu, 23 Oktober 2013
Khutbah Terakhir Nabi Muhammad SAW 9 ZULHIJJAH TAHUN 10 HIJRAH, DI LEMBAH URANAH, GUNUNG 'ARAFAH
"Wahai manusia dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.
Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah bahwa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti akan membuat perhitungan atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba', oleh itu segala urusan yang melibatkan riba' hendaklah dibatalkan mulai sekarang.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.
Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik! dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini. Sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di Bulan Ramadhan, tunaikanlah zakat dan harta kekayaan kamu dan kerjakanlah ibadah haji sekiranya mampu.
Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak ada seorangpun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan amal soleh.
Ingatlah bahawa kamu akan mengadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan atas segala apa yang telah kamu lakukan. Oleh itu, awasilah tindak-tanduk kamu agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah disampaikan kepada kamu.
Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku ini menyampaikannya pula kepada orang lain dan hendaklah orang yang lain itu menyampaikannya pula kepada orang lain dan begitu seterusnya.
Semoga orang yang terakhir yang menerimanya lebih memahami kata-kataku ini dari mereka yang mendengar terus dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya aku telah sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba- Mu. "
Puisi Terakhir Imam Ghazali
Puisi Terakhir Ghazali
Katakan pada sahabatku, tatkala mereka melihatku mati
Menangis untukku dan berkabung dalam kedukaan
Jangan percaya bahawa mayat ini yang engkau lihat adalah diriku
Dengan nama Allah, aku katakan padamu, itu bukan aku.
Aku roh, dan ini hampa melainkan daging
Itu rumah dan pakaianku untuk sesuatu masa
Aku perbendaharaan, oleh azimat tersembunyi
Digayakan oleh debu, yang membantuku sebagai permakaman
Aku mutiara, yang telah meninggalkan kulitnya terbiar
Aku burung, dan tubuh ini sangkarnya
dari mana aku terus terbang dan meninggalkannya sebagai ingatan
puji-pujian kepada Allah yang membebaskanku
dan menyediakan tempatku di tingkat syurga teratas
sehingga kini aku telah mati, walau hidup dalam kabusmu
kini aku hidup dalam kebenaran, dengan kubur – baju dibuang
hari ini aku bercakap dengan para wali di atas
tanpa tabir antaranya,
aku lihat Allah depan berdepan.
aku lihat “Loh-i-Mahfuz” dan di situ aku baca
apa saja telah dan kini dan semua yang akan jadi.
Biarkan rumahku jatuh menjadi puing, letakkan sangkarku di tanah
Buangkan tangkal, itu hanya ingatan, bukan lagi
Tepikan jubahku, itu hanya pakaian luarku
Letakkan semua ke dalam kubur, lupakan saja
Aku telah meninggalkan perjalananku, dan engkau tinggal di belakang
Tempat tinggalmu bukan untuk rumahku
Jangan fikir kematian itu kematian, bukan- itulah kehidupan
Kehidupan melewati semua yang upaya kita impi
sementara di dunia ini,
di sini kita diberi tidur
Kematian adalah melainkan tidur, tidur yang akan berpanjangan
Jangan takut pabila kehadiran malam kematian
Tidak lain perjalanan ke rumah yang dirahmati
Fikirkan keampunan dan kasih sayang Rabbmu
Ucap syukur atas kurnia-Nya dan hadirlah tanpa takut
Apa aku kini, engkau juga akan begitu
Kerna aku tahu engkau juga akan sepertiku
Roh semua manusia datangnya dari Allah
Semua tubuh dari yang sama
Kebaikan dan kejahatan, sama milik kita
Aku sampaikan khabar gembira
Semoga ketenangan dan kegembiraan dari Allah
menjadi milikmu.
Label:
ghazali,
imam,
imam gazali,
imam ghazali,
puisi,
puisi terakhir
Isnin, 3 September 2012
RUKUN-RUKUN AGAMA (IMAN, ISLAM DAN IHSAN)
RUKUN-RUKUN AGAMA (IMAN, ISLAM DAN IHSAN)
Firman Allah Taala, maksudnya: "Sebenarnya orang-orang yang beriman dan beramal salih, sesungguhnya Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya." (30, Al-Kahf).
"Bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintah-Nya) sedang ia pula berusaha memperbaiki amalnya maka ia akan beroleh pahala di sisi Tuhannya .." (112, Al-Baqarah).
"Untuk orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya, dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia .." (26, Yunus).
Hadis Ketiga Belas
13- عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ قَالَ بَيْنَمَا نَحْنُ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ إِذْ طَلَعَ عَلَيْنَا رَجُلٌ شَدِيدُ بَيَاضِ الثِّيَابِ شَدِيدُ سَوَادِ الشَّعَرِ لَا يُرَى عَلَيْهِ أَثَرُ السَّفَرِ وَلَا يَعْرِفُهُ مِنَّا أَحَدٌ حَتَّى جَلَسَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَسْنَدَ رُكْبَتَيْهِ إِلَى رُكْبَتَيْهِ وَوَضَعَ كَفَّيْهِ عَلَى فَخِذَيْهِ وَقَالَ يَا مُحَمَّدُ أَخْبِرْنِي عَنْ الْإِسْلَامِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْإِسْلَامُ أَنْ تَشْهَدَ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتُقِيمَ الصَّلَاةَ وَتُؤْتِيَ الزَّكَاةَ وَتَصُومَ رَمَضَانَ وَتَحُجَّ الْبَيْتَ إِنْ اسْتَطَعْتَ إِلَيْهِ سَبِيلًا قَالَ صَدَقْتَ قَالَ فَعَجِبْنَا لَهُ يَسْأَلُهُ وَيُصَدِّقُهُ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ الْإِيمَانِ قَالَ أَنْ تُؤْمِنَ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ قَالَ صَدَقْتَ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ الْإِحْسَانِ قَالَ أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ السَّاعَةِ قَالَ مَا الْمَسْئُولُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ مِنْ السَّائِلِ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ أَمَارَتِهَا قَالَ أَنْ تَلِدَ الْأَمَةُ رَبَّتَهَا وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ يَتَطَاوَلُونَ فِي الْبُنْيَانِ قَالَ ثُمَّ انْطَلَقَ فَلَبِثْتُ مَلِيًّا ثُمَّ قَالَ لِي يَا عُمَرُ أَتَدْرِي مَنْ السَّائِلُ قُلْتُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ قَالَ فَإِنَّهُ جِبْرِيلُ أَتَاكُمْ يُعَلِّمُكُمْ دِينَكُمْ. (مسلم)
13 - Dari Umar bin Al Khattab r.a., katanya: Pada suatu hari, dalam masa kami sedang duduk di sisi Rasulullah s.a.w, tiba-tiba muncul kepada kami seorang lelaki: Putih melepak pakaiannya, hitam legam rambutnya, tidak kelihatan padanya tanda-tanda perjalanan (sebagai seorang pengembara), dan tidak ada seorang pun dari kami yang mengenalinya; (demikianlah halnya) sehinggalah ia duduk mengadap Nabi s.a.w. lalu ia menemukan kedua lututnya kepada kedua lutut Baginda sambil meletakkan kedua tapak tangannya atas kedua pahanya serta berkata: "Wahai Muhammad! Beritahulah kepada ku tentang (dasar-dasar) Islam(1)?" Maka Rasulullah s.a.w. menerangkan: "(Dasar-dasar) Islam itu ialah engkau melafazkan kalimah syahadat (meyakini serta menerangkan kebenaran) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah dan engkau mendirikan sembahyang dan memberi zakat serta berpuasa pada bulan Ramadan dan juga engkau mengerjakan Haji ke Baitullah jika engkau mampu sampai kepadanya." (Mendengarkan penerangan Baginda yang demikian) ia berkata: "Benarlah apa yang tuan katakan itu!" Kata Umar: Maka kami merasa hairan terhadap orang itu - ia bertanya kepada Baginda dan ia juga mengesahkan benarnya (sebagai seorang yang mengetahui perkara yang ditanyakannya itu). Kemudian ia bertanya lagi: "Beritahulah kepada ku tentang iman(2)?" Nabi s.a.w. menerangkan: "(Iman itu ialah) engkau beriman kepada Allah, Malaikat MalaikatNya, Kitab-kitabNya, Rasul-rasulNya, serta Hari Akhirat; dan engkau beriman kepada takdir (yang ditentukan oleh Allah) - baiknya dan buruknya." (Mendengarkan yang demikian) ia berkata: "Benarlah apa yang tuan katakan itu." Kemudian ia bertanya lagi: "Beritahulah kepada ku tentang ihsan(3)?" Nabi s.a.w. menerangkan: "(Ihsan itu ialah) engkau mengerjakan ibadat kepada Allah Taala seolah-olah engkau melihatNya (memerhatikan keadaanmu)(4), kiranya engkau tidak dapat melakukan yang demikian maka ingatlah bahawa Allah Taala tetap memerhatikan keadaan mu." Kemudian orang itu bertanya lagi: "(Selain itu) maka beritahulah kepada ku tentang (masa berlakunya) hari qiamat?" Nabi s.a.w. menjawab: "Orang yang ditanyakan mengenai hal itu bukanlah seorang yang lebih mengetahui dan yang bertanya." Orang itu bertanya lagi: "Jika demikian maka beritahulah kepada ku tentang tanda-tanda kedatangan hari qiamat itu?" Nabi s.a.w. menerangkan: "(Tanda-tanda itu ialah engkau akan dapati) adanya hamba perempuan yang melahirkan anak yang menjadi tuannya dan engkau akan melihat orang-orang (penduduk desa) yang berkaki ayam, yang tidak berpakaian sempurna, yang miskin menderita, yang menjadi gembala kambing bermegah-megah dan berlawan-lawan antara satu dengan yang lain dalam perkara membina bangunan-bangunan yang tinggi. " Umar berkata: Kemudian orang itu pun pergilah, maka tinggallah aku beberapa hari (memikirkan halnya dan hendak mengetahui siapa dia).
Kemudian Rasulullah s.a.w. bertanya kepadaku, sabdanya: "Wahai Umar! Tahukah engkau siapa orang yang bertanya itu?" Aku menjawab: "Allah dan RasulNya jualah yang mengetahui. "
(Pada saat itu) Rasulullah s.a.w. menerangkan: "Orang itu ialah Jibril, ia datang untuk mengajar kamu akan agama kamu."
(Muslim)
________________________________
(1) "Islam" di sini ialah dengan pengertian yang kedua yang telah diterangkan pada bab yang ketiga.
(2) "Iman" bererti:
Pertama - Percayakan benarnya sesuatu yang tertentu serta sanggup mematuhi apa yang dikehendaki oleh kepercayaan itu.
Kedua - Segala jenis amalan taat - hasil dari kepercayaan dan kesanggupan itu.
Ketiga - Perkara-perkara yang diimankan itu; dan iman dengan erti inilah yang dikehendaki di sini.
(3) "Ihsan" di sini maksudnya: Cara mengerjakan sesuatu taat - terutama amal ibadat - dengan sebaik-baiknya, lengkap segala peraturannya serta dengan ikhlas kepada Allah Taala.
(4) Yakni hendaklah engkau lakukan amal ibadat atau taatmu kepada Allah s.w.t. dengan keadaan seolah-olah engkau nampak Ia melihat dan memerhatikan zahir batinmu. kiranya engkau tidak dapat mencapai keadaan itu maka hadirkanlah keyakinanmu bahawa Allah Taala tetap melihat dan memerhatikan mu kerana sesungguhnya Ia sentiasa melihat dan memerhatikan segala keadaanmu.
Hadis yang ketiga belas ini menerangkan:
(1) Ada kalanya Malaikat pembawa Wahyu - Menyamar diri sebagai seorang manusia.
(2) Iman, Islam dan Ihsan.
(3) Tanda-tanda kedatangan Qiamat.
Huraiannya:
Pertama - Malaikat Jibril (a.s) ada kalanya menyamar sebagai seorang manusia:
Pada suatu hari, sedang Rasulullah s.a.w dihadapi oleh sahabat-sahabatnya, tiba-tiba datanglah seorang lelaki seperti yang diterangkan dalam hadis ini, lalu bertanya tentang perkara-perkara agama. Apabila Baginda menjawab pertanyaannya, ia segera mengesahkan benarnya. Ini menjadikan sahabat-sahabat Baginda hairan memikirkan halnya, dia bertanya dan dia pula mengesahkan kebenaran jawapan Baginda.
Kehairanan sahabat-sahabat Nabi itu hilang apabila Baginda sendiri menerangkan pada akhirnya bahawa yang bertanya itu ialah Malaikat Jibril (as.).
Soal Wahyu:
Wahyu adalah satu perkara pokok yang menjadi dasar bagi segala perkara agama. Orang yang tidak mempercayai wahyu, sudah tentu tidak ada kepercayaannya kepada Rasul-rasul utusan Allah, Kitab-kitabNya dan lain-lain lagi yang berhubung dengan iman. Ada orang yang percaya, bahawa junjungan kita Muhammad s.a.w. seorang pemimpin yang bijak. Jika setakat itu sahaja kepercayaannya terhadap Baginda maka itu belum cukup, selagi dia tidak mempercayai bahawa kebijaksanaan Baginda itu - selain daripada sifat semula jadinya yang istimewa, Baginda pula mendapat wahyu dan pimpinan dan Allah Azza wa Jalla.
Kedua - Iman, Islam dan Ihsan berkaitan satu sama lain:
Di antara perkara-perkara yang ditanyakan kepada Rasulullah s.a.w. ialah soal Iman, Islam dan Ihsan, lalu dijawab oleh Baginda satu persatu. Walau pun pertanyaan itu dibuat satu-satu dengan berasingan, tetapi ketiga-tiganya merupakan satu hakikat jua, iaitu "Agama". Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. pada akhir hadis ini bahawa yang bertanya itu ialah Malaikat Jibril, datangnya untuk mengajar mereka akan "Agama" mereka.
Jelasnya, "Agama" itu jika dipandang dan segi amalan-amalan zahir disebut dengan nama "Islam"; jika dipandangi dari segi kepercayaan dan keyakinan hati disebut dengan nama "Iman"; dan jika dipandang dan segi kesempurnaan cara pelaksanaan dua perkara itu disebut dengan nama "Ihsan".
Tiga perkara yang dipandang dari segi-segi yang berlainan itu tidak harus berpisah antara satu dengan yang lain.
"Agama" itu adalah ibarat sebatang pohon, - Akar umbinya serta usul asalnya bahkan benihnya ialah "Iman"; dan seluruh pohon itu meliputi batangnya, dahannya, rantingnya, daunnya, bunganya dan buahnya ialah "Islam"; manakala kesuburannya, keharumannya, kemanisannya dan seluruh keindahannya ialah "Ihsan".
Dengan huraian ini nyatalah salahnya orang yang menganggap bahawa Iman, Islam dan Ihsan boleh berasingan antara satu dengan yang lain; dan lebih-lebih lagi salahnya orang yang menganggap bahawa Ihsan itu boleh ada atau dapat dilaksanakan dengan ketiadaan Iman dan Islam, kerana ihsan itu ialah sifat bagi keduanya dan sememang maklum bahawa "Sifat" tidak boleh ada dengan ketiadaan "Mausuf" (perkara yang disifatkan).
Islam dan Asasnya yang lima:
Sebagaimana yang telah diterangkan bahawa salah satu dan pengertian "Islam" itu ialah hukum-hukum dan keterangan-keterangan yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan Allah `Azza wa Jalla.
Hukum-hukum dan peraturan yang tersebut, yang terdiri dari suruh dan tegah, meliputi segala bidang hidup umat manusia.
Islam yang demikian sifatnya, berasaskan lima perkara - sebagaimana yang diterangkan oleh Baginda dalam hadis mi.
Dari lima asas inilah terbit dan kembali kepadanya segala hukum dalam setiap keadaan umat manusia - dalam alam kehidupan ini.
Asas-asas Islam yang lima itu ialah:
Pertama - Mengakui kebenaran tiap-tiap perkara yang benar dan melafazkan "Kalimah At-Taqwa":
Di antara syarat-syarat bagi mencapai keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat ialah menghormati kebenaran setiap perkara yang benar, dengan jalan mengakui dan mengamalkannya. Ini dengan sendirinya mewajibkan menolak kesalahan tiap-tiap perkara yang salah.
Oleh kerana sebenar-benar perkara yang benar ialah keesaan Allah Taala Tuhan yang wajib Al-Wujud dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w., maka mengucap dua kalimah syahadat:
أَشْهَدُ أَنْ لا إِلَهَ إِلا الله وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ الله
- Yang ertinya: "Aku meyakini serta menerangkan kebenaran, bahawa sesungguhnya tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah" adalah menjadi asas atau "Rukun Islam" yang pertama bahkan menjadi anak kunci bagi seseorang masuk Islam.
Tiap-tiap orang Islam dituntut melafazkan "Kalimah Al-Taqwa" dalam kehidupan sehari-hari.
"Kalimah Al-Taqwa" itu ialah tiap-tiap tutur kata yang memelihara dan menyelamatkan seseorang dan tiap-tiap perkara yang membahayakannya serta mendatangkan manfaat dan kebahagiaan, sama ada di dunia mahu pun di akhirat dan semulia-mulia "Kalimah At-Taqwa" itu ialah:
لا إِلَهَ إِلا الله مُحَمَّدٌ رَسُوْلُ الله
Kedua - Menggunakan segala anggota berusaha dan mengerjakan dengan cara yang teratur akan amal-amal bakti sama ada yang diwajibkan atau yang digalakkan untuk diri dan masyarakat, bagi mengenang budi dan mensyukuri nikmat-nikmat, dengan harapan mencapai kebaikan dan menjauhkan perkara-perkara yang merosakkan, serta dengan sepenuh-penuh kesedaran mengingati Allah dan berdoa kepadaNva memohon taufik dan hidayah-Nya ke jalan yang diredhai-Nya.
Semuanya itu terdapat dalam "Sembahyang", dan dengan ini nyatalah hikmatnya sembahyang itu menjadi asas atau "Rukun Islam" yang kedua, dan dengan ini juga nyatalah tepatnya sabda Nabi s.a.w. yang maksudnya: "Sembahyang itu tiang agama, sesiapa yang meninggalkannya maka sesungguhnya ia telah meruntuhkan agama."
(Untuk penjelasan yang lebih lanjut mengenai sembahyang, lihatlah lampiran "B", pada akhir bab ini).
Ketiga - Berkorban dengan Harta Benda:
Harta benda adalah merupakan asas bagi segala urusan hidup dalam dunia ini. Oleh itu maka sebahagian besar dan daya usaha manusia dicurahkan untuk mencari dan memiliki harta benda dan kekayaan. Tetapi bukan semuanya berhasil mencapai kesenangan dan kemewahan itu dengan sepenuhnya, bahkan bukan sedikit - dari setiap bangsa di dunia ini - yang hidup miskin dan menderita.
Dengan yang demikian, maka membelanjakan harta benda untuk menolong orang-orang yang fakir miskin dan yang memerlukan bantuan, dan juga untuk kebajikan Islam - sebagaimana yang terdapat dalam amalan "Zakat" - adalah menjadi satu cara hidup yang aman makmur
Oleh itu, maka nyatalah hikmatnya kewajipan mengeluarkan zakat itu menjadi salah satu dari asas atau "Rukun Islam".
Keempat - Membendung kemahuan hawa nafsu:
Sebahagian besar dari kejadian kacau bilau yang berlaku dalam sesebuah masyarakat adalah akibat dari runtunan hawa nafsu yang buas liar dan melampaui batas, sehingga ada yang melupai kehormatan din dan rumahtangga, mencuaikan tugas dan kewajipan, mengkhianati amanah dan berbagai-bagai perkara jenayah lagi.
Oleh itu, maka kewajipan menyekat hawa nafsu dan menentang runtunan liarnya, serta melarih diri mengingati pengawasan Allah Taala akan segala yang zahir dan yang batin - sebagaimana yang terdapat dalam amalan "Puasa" - adalah menjadi satu cara hidup yang aman sentosa.
Dengan yang demikian, maka nyatalah hikmatnya ibadat puasa itu menjadi salah satu dari asas atau "Rukun Islam".
Kelima - Menghadiri tempat-tempat perhimpunan untuk kebajikan:
Manusia tidak seharusnya memencilkan atau mengasingkan dirinya dari sebarang perhubungan dengan sesama manusia.
Banyak perkara yang bersangkut paut dengan hidupnya, dengan agamanya, dengan pentadbiran negara dan masyarakatnya tak dapat diselesaikan melainkan dengan jalan perjumpaan dan perundingan, lebih-lebih lagi melalui persidangan antarabangsa.
Oleh itu, bagi mencapai kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat, maka menghadiri tempat-tempat perhimpunan untuk kebajikan sekadar yang mampu, bagi melahirkan sikap memperhambakan diri kepada Allah `Azza wa Jalla, dan bersyukur akan nikmat-nikmatNya, serta melaksanakan dasar bersatu padu dan bersefahaman antara sesama umat Islam dan juga untuk mendapat berbagai-bagai faedah dan manfaat dari segi rohani, akhlak, kemasyarakatan dan ekonomi - sebagaimana yang terdapat dalam "Ibadat Haji" - adalah menjadi satu cara hidup yang aman damai dan bahagia.
Dengan yang demikian, maka nyatalah hikmatnya ibadat haji itu menjadi salah satu dari asas atau "Rukun Islam".
Iman dan Asasnya yang enam:
Sebagaimana yang diketahui bahawa Islam yang diterangkan dalam hadis ini bererti: "Mematuhi apa yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w maka sudah tentu Islam yang bererti: "Kepatuhan yang sebenar-benarnya tidak akan wujud dengan ketiadaan iman atau kepercayaan yang tertentu, kerana: Islam itu adalah ibarat "Pokok", manakala iman pula adalah ibarat !`Benih"; Dan bahawa sebarang gerak-geri yang disengajakan oleh manusia adalah timbulnya dan sesuatu kepercayaan yang tertentu.
Dengan yang demikian, maka salah satu di antara rukun-rukun agama ialah iman atau kepercayaan, yang berasaskan enam perkara.
Wujudnya Allah Pencipta Seluruh Alam:
Sebagaimana yang sedia maklum, manusia yang waras akal fikirannya memang sedar bahawa wujudnya adalah diciptakan oleh Allah Maha Pencipta dan sebagaimana Ia sedar bahawa segala keadaan dan perjalanan dirinya tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh Maha Pencipta itu, ia juga sedar bahawa dirinya tersusun dan jisim dan roh.
Undang-undang dan peraturan yang disedarinya menguasai keadaan dan perjalanan dirinya itu hanyalah untuk keselamatan jisimnya apabila ia mematuhinya dengan sempurna, maka sudah tentu bagi rohnya pula wajiblah ia mematuhi dengan sempurna akan undang-undang dan peraturan yang dikhaskan oleh Maha Pencipta untuk keselamatan roh.
Dengan yang demikian, ia sudah tentu mempercayai adanya Maha Pencipta - iaitu Allah Taala - yang menciptakan diri manusia dan menciptakan undang-undang serta peraturan jasmani dan rohaninya
Adanya Malaikat:
Undang-undang dan ilmu-ilmu jasmani boleh dicari dan dikaji oleh manusia, tetapi undang-undang dan peraturan rohani iaitu "Hukum-hukum Syarak" tidak akan dapat diketahui melainkan dengan jalan diterima dari Allah Taala dengan perantaraan Malaikat Wahyu, kerana menurut keadaan semula jadinya, manusia tidak dapat menerima hukum secara langsung dari Allah S.W.T. kecuali Rasul-rasul pilihan, itupun pada keadaan yang tertentu.
Adanya Kitab-kitab Allah:
Hukum-hukum dan peraturan yang disampaikan oleh Malaikat Wahyu itu ditulis sebagai sebuah kitab untuk dibaca dan dipelajari serta diamalkan oleh umat manusia.
Adanya Rasul-rasul Allah:
Sememang maklum bahawa undang-undang dan peraturan-peraturan itu tidak dapat difahami sebagaimana yang semestinya oleh kebanyakan manusia, maka Allah Taala yang Amat Bijaksana telah memilih orang yang diketahuiNya layak menjadi penyampai dan pensyarah yang menerangkan undang-undang itu satu persatu dan pensyarah itu ialah Rasul-rasulNya.
Adanya Alam Akhirat:
Sesuatu undang-undang atau perlembagaan tidak akan ada nilainya kalaulah tidak dihormati dan dipatuhi.
Kebanyakan manusia tidak menghormati sesuatu undang-undang atau perlembagaan melainkan setelah mengetahui balasan baik bagi orang yang menghormati dan mematuhinya dan balasan buruk bagi orang yang mencabuli dan mencuaikannya.
Oleh sebab hidup manusia dalam alam dunia ini adalah untuk sementara waktu sahaja maka balasan yang sepenuh-penuh kesempurnaannya dan seadil-adil keadaannya tentulah tidak difikir layak diberikan seseorang menerimanya dalam alam sementara ini, bahkan bagi melayakkan yang tersebut, diakui benar adanya satu alam yang berpanjangan lagi kekal iaitulah "Alam Akhirat" - Alam yang bermula dan masa berakhir hidup manusia dalam alam dunia ini.
Tambahan pula manusia dijadikan Allah tersusun dari jisim dan roh yang tidak akan habis atau binasa dengan berakhirnya alam dunia ini sekalipun jisimnya menjadi debu atau abu, bahkan roh itu tetap wujudnya berpindah dari satu keadaan ke satu keadaan hingga bercantum dengan tubuhnya yang dibangkitkan hidup semula untuk masa yang kekal itu.
Adanya Qadar dan Taqdir Allah:
Dari huraian-huraian yang tersebut, nyatalah bahawa Allah S.W.T. ialah pencipta seluruh alam meliputi manusia dan makhluk-makhluk yang lain dan Dialah yang menyusun, mengatur dan menentukan hukum-hukum, undang-undang dan peraturan, bagi segala keadaan makhluk seluruhnya, sama ada yang baik atau yang buruk.
Maka susunan dan penentuan ada nya dan berlakunya baik dan buruk itu ialah "Qadar Taqdir" tuhan yang azali, yang menjadi "Rukun Iman" yang akhir.
Ihsan dan Peringkat-peringkatnya:
Sebagaimana yang sedia diketahui bahawa "Ihsan" ialah cara mengerjakan sesuatu taat dengan sebaik-baiknya, lengkap segala peraturannya, serta dengan ikhlas kepada Allah Taala, iaitu bersih dari syirik dan sikap munafik serta bersih dan perasaan riak, ujub dan lain-lainnya.
Yang demikian ini ialah hakikat Ihsan yang menjadi salah satu dari "Rukun-rukun Agama" yang tiga, yang dengan ketiadaannya maka yang dua lagi - Iman atau Islam - tidak diterima, kerana taat yang dikerjakan dengan ketiadaan Ihsan adalah ibarat patung yang tidak bernyawa.
Ini ialah peringkat Ihsan yang pertama, yang mesti diusahakan oleh tiap-tiap seorang.
Selain dari itu, ada dua peringkat lagi iaitu yang diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis ini.
Tanda-tanda kedatangan hari Qiamat:
Oleh kerana hikmatnya Allah Taala menjadikan jin dan manusia serta makhluk-makhluk yang lain ialah untuk masing-masing membuktikan taat setianya dan penghormatannya dengan mengerjakan amal ibadat kepadaNya, maka untuk membicarakan dan membalas ketaatan dan kederhakaan tiap-tiap makhluk, sudah tentu adanya satu masa yang ditetapkan untuk tujuan yang demikian, iaitu "Hari Qiamat".
Oleh sebab itulah si penanya bertanya kepada Baginda tentang waktu kedatangan hari Qiamat itu, akan tetapi oleh kerana soal waktu kedatangan hari Qiamat itu adalah satu dari lima perkara yang pengetahuannya tertentu bagi Allah jua, maka Rasulullah s.a.w. menjawab dengan sabdanya yang bermaksud: "Orang yang ditanyakan soal itu samalah sahaja dengan orang yang bertanya, tetapi aku akan menerangkan tanda-anda kedatangannya", lalu Baginda menerangkan seperti yang tersebut dalam hadis ini.
Selain dari yang diterangkan dalam hadis ini, ada didapati dalam kitab-kitab hadis yang lain banyak lagi tanda-tanda tentang hampirnya kedatangan hari Qiamat, di antaranya:
Pertama - Apabila susut dan kurang ilmu pengetahuan agama dengan kematian seseorang alim yang ahli dalam sesuatu cawangan ilmu yang tertentu dan tidak dapat diganti
Kedua - Apabila merebaknya kejahilan mengenai ilmu agama dengan sebab kurangnya orang-orang yang suka mempelajarinya.
Ketiga - Apabila diserahkan sesuatu urusan agama seperti jawatan ketua negara, mufti, kadhi dan sebagainya, untuk dikendalikan oleh orang yang bukan ahlinya.
Keempat - Apabila sesuatu masyarakat dipimpin oleh seseorang ketua yang fasik yang suka menggalakkan maksiat dan perbuatan yang durjana.
Kelima - Apabila orang yang benar dikatakan pendusta, pendusta dikatakan orang yang benar; orang yang khianat disifatkan amanah, orang yang amanah dikatakan khianat; orang yang adil disifatkan zalim, orang yang zalim disifatkan adil dan orang-orang yang jahil berpengaruh dan bermaharajalela dengan berlagak pandai dalam ilmu agama sehingga orang alim terpaksa mendiamkan diri (setelah tugasnya tidak lagi dihargai).
Keenam - Apabila arak menjadi adat diminum berterang-terang di sana sini, dengan digalakkan pula oleh pemimpin-pemimpin dan ketua.
Ketujuh - Apabila perbuatan lucah dan cabul dilakukan dengan berterang-terang di merata-rata tempat dengan tidak mendapat sebarang teguran kerana kelemahan iman, sehingga kalaulah ada yang menegur maka orang yang menegur itu boleh dikatakan imannya pada masa itu sekuat iman Sayidina Abu Bakar dan Sayidina Umar pada zaman sahabat-sahabat Nabi s.a.w.
Lampiran (B):
Soal Sembahyang:
Mengenai sembahyang, Sayidina Umar r.a., berkata - Sebagaimana yang tersebut dalam kitab Al-Muwatta': Sesiapa memelihara sembahyang dan tetap mengerjakannya, bererti ia memelihara agamanya dan sebaliknya sesiapa yang mensia-siakannya maka ia lebih-lebih lagi akan mensia-siakan kewajipan-kewajipan agama yang lain".
Sebenarnya sembahyang itu tiang agama dan semulia-mulia asas Islam yang lima sesudah Dua Kalimah Syahadat.
Kedudukan sembahyang dalam agama menyamai kedudukan kepala pada tubuh badan; oleh itu, sebagaimana seseorang yang tidak berkepala tidak akan hidup, maka demikian juga tidak ada agama bagi orang yang tidak mengerjakan sembahyang.
Dalam kitab At-Tanwir, Sidi Ahmad bin Ata'illah berkata: Sembahyang amatlah besar kemuliaannya dan keadaannya di sisi Allah amatlah berat; dan kerana itulah Allah Taala berfirman, maksudnya; "Sesungguhnya sembahyang itu mencegah perbuatan yang keji dan mungkar" dan Rasulullah s.a.w. pula ketika ditanyakan tentang amal yang semulia-mulianya, Baginda menjawab, maksudnya: "(Semulia-mulia amal) ialah sembahyang yang dikerjakan pada waktunya".
Baginda juga bersabda maksudnya: "Orang yang mengerjakan sembahyang adalah ia bermunajat (mengadap dan merayu) kepada Tuhannya."
Dan sabdanya lagi, maksudnya: "Sehampir-hampir seseorang hamba itu kepada Tuhannya ialah semasa ia sujud."
Sebagaimana yang dapat disaksikan, bahawa dalam sembahyang terhimpun berbagai-bagai jenis ibadat yang tidak ada pada lainnya. Di antara ibadat-ibadat yang terhimpun dalam sembahyang ialah: Bersuci, berdiam diri, mengadap kiblat, membaca doa iftitah, membaca Al-Qur'an, berdiri rukuk, sujud, bertasbih dalam rukuk dan sujud, berdoa dalam sujud dan lain-lainnya, yang merupakan himpunan ibadat yang berbilang-bilang; kerana zikir sahaja adalah ibadat dan bacaan Al-Qur'an sahaja adalah ibadat; demikian juga halnya Tasbih, doa, rukuk dan sujud; tiap-tiap satunya adalah menjadi ibadat. " Demikian kata Ibnu 'Ata'illah dalam "At-Tanwir."
Perintah-perintah mengenai sembahyang, memeliharanya dan keadaannya menjadi sifat dan syi'ar orang-orang yang beriman, banyak sekali diterangkan di dalam Al-Qur'an al-Karim. Di antaranya firman Allah Taala, maksudnya:
"Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembah yang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembah yang kamu) dengan taat dan khusyuk. " (238, Al-Baqarah).
"Hendaklah kamu sentiasa rujuk kembali kepada Allah (dengan mengerjakan amal-amal bakti) serta bertaqwalah kamu kepadaNya dan kerjakanlah sembahyang dengan betul sempurna dan janganlah kamu menjadi dari mana-mana golongan orang musyrik." (33, Ar-Rum).
"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. " (1-2, Al-Mu'minun).
"Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) ..." (45, Al-'Ankabut).
"Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya." (103, An-Nisa).
Sembahyang yang lima waktu ini yang dikerjakan sehari semalam, tidak boleh sama sekali bagi seseorang yang mengakui dirinya Islam dan menghitung dirinya dalam barisan umat Islam meninggalkan satu waktu pun, dalam segala keadaan, selagi ia masih sempurna akalnya, sekalipun ia sakit tenat. Kalau ia tak dapat berdiri sembahyang kerana uzur, ia boleh sembahyang duduk; jika tidak dapat, ia boleh sembahyang dengan berbaring - dengan mengiring ke sebelah kanan atau ke kiri atau pun dengan terlentang.
Di dalam Al-Qur'an al-Karim diberi amaran mengenai orang-orang yang mencuaikan sembahyang. Tentang ini Allah Taala berfirman, maksudnya:
"Kemudian mereka (yang taat) digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab dalam neraka, - "Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal salih .." (59-60, Maryam).
Dalam huraiannya, Ibnu Abbas berkata - seperti yang disebutkan oleh al-Syams al-Zahabi dalam kitabnya al-Kabair: Bahawa "Mencuaikan sembahyang" yang tersebut dalam ayat ini bukan maknanya mereka meninggalkan sembahyang sama sekali, tetapi maksudnya mereka mentakhirkan (melengahkan) sembahyang sehingga keluar waktunya.
Hal ini dijelaskan oleh Said bin Al-Musayib, dengan menyatakan bahawa maksudnya: Orang itu tidak sembahyang Zuhur melainkan setelah masuk waktu Asar, (dan seterusnya tentang waktu-waktu yang lain). Maka sesiapa yang mati dalam keadaan yang demikian dan ia tidak bertaubat, maka balasan yang ditetapkan baginya ialah azab seksa di dalam neraka.
Firman Allah lagi, maksudnya: "Maka kecelakaan besar bagi orang-orang ahli sembahyang yang keadaan mereka lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya" (4-5, Al-Ma'uun).
Yakni yang lalai dari mengerjakannya pada waktunya, lalu dijanjikan kepada mereka dengan balasan yang seburuk-buruknya di dalam neraka, kecuali orang yang bersifat demikian segera bertaubat dan menyesal terhadap perbuatannya itu.
Dan firmannya lagi, maksudnya: "Wahai orang-Orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahnya). Dan (ingatlah!) sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang yang rugi. " (9, Al-Munafiqun).
Menurut sebahagian dan ahli tafsir, "Mengingati Allah" (zikir Allah) di sini ialah "Sembahyang yang lima waktu"; maka sesiapa yang mencuaikannya kerana dilalaikan oleh harta bendanya, anak pinaknya dan segala urusan hidupnya, menjadilah ia dan orang-orang yang rugi serugi-ruginya.
Di dalam hadis-hadis pula ada diterangkan tentang setakat mana beratnya kewajipan sembahyang itu. Di antaranya Baginda bersabda, maksudnya: "Jaminan berbaik-baik di antara kita dengan mereka yang mendakwa dirinya orang Islam ialah mengenakan sembahyang, oleh itu sesiapa yang tidak sembahyang maka sesungguhnya termasuklah ia dalam hukum orang kafir. "
Dan sabdanya lagi, maksudnya: "Perkara yang menghubungkan seseorang dengan kufur ialah meninggalkan sembahyang. "
Dan sabdanya lagi, maksudnya: "Sesiapa yang cuai sehingga ia terlepas dari mengerjakan sembah yang Asar pada waktunya, maka sesungguhnya telah binasalah amalnya."
Dan sabdanya lagi, maksudnya: "Sesiapa yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja, maka sesungguhnya terlepaslah ia dari jaminan Allah menyelamatkannya."
Dan sabdanya lagi, maksudnya: "Sesiapa yang memelihara sembahyang dengan sebaik-baiknya, nescaya sembahyang itu menjadi cahaya baginya dan menjadi bukti serta penyelamat baginya pada hari Qiamat; dan sesiapa yang mencuaikannya, maka semuanya itu tidak akan diperolehinya, dan ia akan dihimpunkan pada hari Qiamat bersama-sama dengan Fir'aun, Qarun, Haman dan Ubai bin Khalaf."
Menurut penjelasan setengah ulama, bahawa sebabnya orang yang tersebut dihimpunkan bersama-sama empat orang (jaguh kekufuran) itu ialah: Kerana yang melalaikannya dan menunaikan sembahyang tidak lain melainkan hartanya, atau kerajaannya (jika Ia seorang pemegang teraju pemerintahan), atau jawatannya sebagai menteri, atau pun perniagaannya. Kalau hartanya yang melalaikannya maka ia akan dihimpunkan bersama-sama Qarun; kalau kerajaannya yang melalaikannya maka ia akan dihimpunkan bersama-sama Fir'aun; kalau pula jawatannya sebagai menteri yang melalaikannya maka ia akan dihimpunkan bersama-sama Haman (menteri Fir'aun); dan kalau pula perniagaannya yang melalaikannya maka ia akan dihimpunkan bersama-sama Ubai bin Khalaf (saudagar kaum Musyrik Mekah).
Dalam satu hadis lagi, bahawa Sayidina Umar, r.a., berkata: Seseorang lelaki telah datang mengadap Rasulullah s.a.w. lalu bertanya, katanya: "Ya Rasulullah, apakah satu-satunya amal dalam Islam yang lebih diperkenankan oleh Allah Taala?" Baginda menjawab: "Ialah sembahyang yang dikerjakan pada waktunya, dan sesiapa yang meninggalkan sembahyang maka tidak ada agama baginya, kerana sembahyang itu tiang agama. "
Dalam satu hadis yang lain, Baginda bersabda, maksudnya: "Apabila seseorang mengerjakan sembahyang pada awal waktunya, naiklah sembahyang itu ke langit serta ia bercahaya sehingga ia sampai kepada `Arasy lalu ia meminta ampun bagi orang yang mengerjakannya. (Demikianlah hal sembahyang itu) hingga hari Qiamat sambil ia berkata: "Semoga Allah memelihara mu sebagaimana engkau memelihara ku"; dan apabila seseorang mengerjakan sembahyang pada luar waktunya, naiklah sembahyang itu ke langit dengan diselubungi oleh gelap gelita, setelah sampai di langit lalu digulung seperti tergulungnya baju buruk dan dipukulkan ke muka orang yang mengerjakannya sambil sembahyang itu berkata (kepada tuannya): "Semoga Allah mensia-siakan mu sebagaimana engkau mensia-siakan aku"
Orang yang mengerjakan sembahyang dengan tidak sempurna amatlah buruk balasannya:
Dalam satu hadis yang diterangkan bahawa Rasulullah s.a.w. melihat seorang yang tidak menyempurnakan rukuknya dan mematuk (seperti ayam) semasa ia sujud, lalu Baginda bersabda, maksudnya: "Kalau orang itu mati dalam keadaannya yang demikian, nescaya ia mati dengan ketiadaan Islam...."
Dalam satu hadis lagi ada diterangkan, maksudnya: "Seseorang itu tidak akan beroleh pahala dari sembahyangnya melainkan mana-mana yang dikerjakannya dengan penuh kesedaran. Setengah orang yang mengerjakan sembahyang ada kalanya tidak mendapat seperenam dari pahala sembahyangnya dan tidak sepersepuluh." Yakni ia hanya mendapat pahala bagi bahagian sembahyang yang tertentu yang dikerjakannya dengan penuh kesedaran serta khusyuk. Orang yang penuh sedar dan khusyuk di sepanjang-panjang sembahyangnya maka ia beroleh pahala bagi seluruh sembahyangnya itu dan sebaliknya orang yang lalai di sepanjang-panjang sembahyangnya hampalah dia dari mendapat sebarang pahala mengenainya.
Orang mukmin yang menaruh belas kasihan kepada dirinya sendiri dan mencintai agamanya, adalah bertanggungjawab mengambil berat menyuruh dan mengajar ahli rumah dan anak pinaknya supaya mereka tetap memelihara dan mengerjakan sembahyang.
Kewajipan ini ditegaskan oleh Allah Taala di dalam Al-Qur'an al-Karim dengan firmanNya yang bermaksud:
"Dan perintahkanlah keluarga mu mengeriakan sembahyang dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya...." (132, Taha).
Dan firmannya lagi; maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan batu (berhala) (6, At-Tahrim).
Nabi s.a.w. sendiri setelah ayat ini turun, sentiasa mengambil berat mengingatkan dan mengawasi keluarganya mengenai sembahyang. Bahkan Baginda dan keluarganya apabila menghadapi apa-apa kesukaran, lazimnya Baginda dan keluarganya mengerjakan sembahyang banyak-banyak.
Cara yang demikian ini juga menjadi amalan Nabi-nabi yang telah lalu - (as.).
Kerana tidak syak lagi, sembahyang itu menjadi sebab yang membawa rahmat, murah rezeki dan menolak bala' bencana.
Langgan:
Catatan (Atom)
