Jumaat, 30 April 2010

5 Syarat utk buat maksiat.

5 syarat utk buat maksiat

Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia
berkata, "Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong
berikan aku nasihat." Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim
berkata, "Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu
melaksanakannya, maka boleh kamu melakukan maksiat." Lelaki itu dengan
tidak sabar-sabar bertanya. "Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba
Ishak?"

Ibrahim bin Adham berkata, "Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada
Allah, jangan memakan rezekinya." Mendengar itu dia mengenyitkan kening
seraya berkata, "Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di
bumi ini rezeki Allah? "Ya!" tegas Ibrahim bin Adham. "Kalau kamu sudah
memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu
berkeinginan melanggar larangan-Nya?"

"Yang kedua," kata Ibrahim, "kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di
bumi-Nya! Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati. Ibrahim
kembali berkata kepadanya, "Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu
layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu
melanggar segala larangan-Nya?"

"Ya! Anda benar." kata lelaki itu. Dia kemudian menanyakan syarat yang
ketiga. Ibrahim menjawab, "Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah
tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat oleh-Nya!" Lelaki itu
kembali terperanjat dan berkata, "Wahai Ibrahim, ini nasihat macam
mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?" "Ya, kalau memang yakin
demikian, apakah kamu m asih berkeinginan melakukan maksiat?" kata
Ibrahim. Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat.

Ibrahim melanjutkan, "Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu,
katakanlah kepadanya, 'Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu
bertaubat dan melakukan amal soleh'." Kemudian lelaki itu menggelengkan
kepala dan segera tersedar, "Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut
akan memenuhi permintaanku?"

"Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh
menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau
boleh lari dari kemurkaan Allah?"

"Baiklah, apa syarat yang kelima?" Ibrahim pun menjawab, "Wahai
Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api
neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya."

Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata, "Wahai Aba
Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak
kehendaknya." Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air
matanya bercucuran. "Mulai saat ini akut bertaubat kepada Allah."
katanya sambil terisak-isak.

Ada empat hal yang dapat mengangkat seseorang kepada darjat yang
tertinggi, walaupun amal dan ibadahnya sedikit, iaitu sifat-sifat
penyantun, merendah diri, pemurah dan budi pekerti yang baik. Itulah
kesempurnaan iman Abul Qasim Al-Junaid

Tiada ulasan:

Catat Ulasan