Isnin, 12 Julai 2010

PERBINCANGAN 2 PARA MALAIKAT..

Ketika Abdullah bin Mubarak melakukan haji, beliau tertidur di masjidil
Haram, dalam tidurnya beliau bermimpi melihat dua orang malaikat turun dari
langit. Berkata seorang malaikat kepada seorang lagi :

"Berapa ramai orang-orang yang mengerjakan haji pada tahun ini?"

Berkata malaikat yang seorang lagi :

"Enam ratus ribu orang."

Bertanya malaikat yang bertanya :

"Antara 600,000 ribu orang yang berhaji itu berapakah yang diterima haji
mereka?"

Berkata malaikat yang menjawab :

"Diantara 600,000 ribu itu hanya seorang sahaja hajinya diterima, namanya
ialah Muwaffaq dia tinggal di Damsyik. Dia adalah seorang tukang kasut, dia
tidak dapat berhaji tetapi hajinya diterima. Maka berkat haji Muwaffaq
kesemua 600,000 yang mengerjakan haji diterima."

Abdullah yang sedang tidur terkejut dari tidurnya maka dengan segera dia
berangkat ke Damsyik, sampai sahaja dia di Damsyik dia mencari-cari tukang
kasut yang disebutkan dalam mimpinya dan akhirnya dia dapat mencari rumah
tukang kasut itu. Apabila sampai di hadapan pintu rumah tukang kasut itu,
maka Abdullah mengetuk pintu. Pintu pun di buka dan keluar seorang lelaki
dari dalam.

Abdullah bertanya lelaki itu :

"Apa nama saudara."

Berkata lelaki itu :

"Nama saya Muwaffaq."

Abdullah bertanya :

"Tolong terangkan kepadaku amalan apakah yang telah kamu lakukan sehingga
mencapai darjat yang tinggi?"

Jawab Muwaffaq :

"Sebenarnya aku ingin menunaikan haji, tetapi oleh sebab keadaanku maka
aku tidak dapat menunaikan haji. Tetapi dengan cara mendadak aku mendapat
wang 300 dirham dari kerja menampal sepatu, lalu aku niat untuk berhaji
pada tahun ini.

"Isteriku pula sedang hamil, suatu hari isteriku tercium bau makanan dari
rumah jiranku dan ia ingin memakan makanan yang terbau itu (mengidam), lalu
aku pergi kerumah jiranku dan aku ketuk pintu. Kemudian keluar seorang
wanita, maka aku pun beritahu hajat isteriku itu kepadanya."

Jiranku itu berkata :

"Oleh kerana kamu tidak tahu keadaanku maka aku terpaksa memberitahumu,
sebenarnya anak-anak yatim ku sudah tiga hari tidak makan oleh itu aku
keluar mencari makanan. Sewaktu aku mencari makanan aku bertemu dengan
bangkai himar, maka aku potong sebahagian dagingnya lalu aku masak, maka
makanan ini adalah halal untuk kami dan haram untuk kamu."

Apabila aku dengar sahaja kata-kata wanita itu maka aku pulang kerumah
dan mengambil 300 dirham yang ada padaku lalu aku berikan kapada wanita itu
dan aku katakan kepadanya :

"Belanjakan wang ini untuk anak-anakmu. Dan aku berkata pada diriku :
Hajiku di muka pintu rumahku (Rumah jiranku) maka kemanakah aku akan
pergi."

Wahai saudara-saudaraku, Allah tidak memandang pada harta yang kita
miliki tetapi ia memandang pada niat yang suci.

Pernah orang bertanya kepada Rasulullah SAW :

"Ya Rasulullah, tunjukkanlah padaku amal perbuatan yang mana bila aku
amalkan akan masuk syurga."

Sabda Rasulullah SAW :

"Jadilah kamu orang yang baik."

Orang itu bertanya lagi :

"Ya Rasulullah, bagaimana aku boleh mengetahui bahawa aku ini telah
berbuat baik?"

Sabda Rasulullah SAW :

"Tanyalah pada jiran tetanggamu, kalau mereka berkata kamu baik, maka
baiklah kamu. Kalau mereka mengatakan kamu buruk, maka buruklah kamu."

Ingat tu buat baik berpada-pada....buat jahat jangan sekali...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan